norlaila@hmetro.com.my
KAEDAH terbaik untuk menguatkan sistem pertahanan badan anak-anak ialah dengan memberikan susu badan sejak hari pertama mereka dilahirkan.
Susu ibu adalah makanan terbaik dan paling lengkap untuk bayi kerana ia bukan saja mengandungi nutrisi yang bersesuaian dengan umur anak, malah membantu menguatkan daya ketahanan badan si kecil.
Alangkah ruginya jika ada ibu memilih untuk menghentikan penyusuan badan kerana susu ibu mempunyai komposisi khasiat termasuk protein, lemak, fosfat dan laktosa yang berpadanan dengan keperluan anak.
Malah, susu ibu juga dikenal pasti sebagai sumber makanan terbaik untuk membantu pertumbuhan flora dalam usus bayi anda.
Malah, susu ibu juga dikenal pasti sebagai sumber makanan terbaik untuk membantu pertumbuhan flora dalam usus bayi anda.
Apa kaitan flora (pertumbuhan bakteria baik seperti laktobasilus dan bifidus) dalam usus dengan sistem pertahanan badan atau imun kanak-kanak?
Sebenarnya sebahagian besar sistem imun kita (60 hingga 80 peratus) terletak di usus. Usus kita mengandungi kira-kira trilion bakteria yang diperlukan badan dipanggil bakteria baik atau probiotik.Bakteria probiotik ini masuk ke dalam badan seseorang bayi ketika dilahirkan secara normal dan ia amat penting untuk kesihatan. Tanpa bakteria ini, kita akan mudah mengalami pelbagai masalah kesihatan yang berkaitan dengan makanan, kekurangan zat dan sistem imun yang lemah.
Bakteria ini sentiasa bekerja memastikan ia dapat mengawal jumlah bakteria jahat supaya kita tidak mengalami sebarang masalah kesihatan seperti jangkitan.
Dalam proses ini badan akan belajar bertindak balas terhadap serangan bakteria tanpa mengalami gejala jangkitan.
Proses ini sangat penting terutama bagi kanak-kanak kecil kerana sistem imun mereka masih belum cukup kuat dan hanya akan terbentuk sepenuhnya pada umur sekitar tujuh tahun.
Flora usus ini juga bertindak merangsang dan mematangkan sistem imun. Ia akan membolehkan ketoleranan oral (ketahanan pemakanan) pada bayi supaya mereka tidak mengalami masalah apabila diperkenalkan dengan makanan baru. Ia juga akan melindungi bayi daripada kesan bakteria jahat dalam usus.
“Kebanyakan ibu memberikan bayi susu badan secara eksklusif selama enam bulan dan apabila mereka memperkenalkan makanan pejal kepada anak, jumlah pemberian susu badan akan berkurang.
“Pengurangan susu badan juga akan menyebabkan jumlah antibodi yang diterima bayi juga akan berkurang sedangkan ketika inilah berlakunya perubahan flora dalam usus anak bagi menerima bahan baru (makanan).
“Bagaimanapun, jumlah probiotik boleh dikekalkan atau bertambah jika seseorang bayi terus diberikan susu ibu sehingga berusia 12 bulan.
“Jadi, walaupun anda memberikan makanan pejal kepada anak, janganlah dikurangkan jumlah susu kerana ia sangat penting untuk kanak-kanak kecil,” kata Ketua Perunding Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John.
Susu badan mengandungi bakteria baik dipanggil laktobasilus yang penting untuk sistem pencernaan si kecil. Bakteria ini hidup di dalam usus dan menjadi antara pelindung penting kepada kanak-kanak daripada masalah cirit-birit dan jangkitan telinga tengah.
Kanak-kanak yang tidak diberi susu badan mempunyai risiko jangkitan telinga tengah lima kali lebih tinggi. Banyak kajian mendapati insiden cirit-birit di kalangan bayi dan kanak-kanak yang diberi susu badan lebih rendah berbanding kanak-kanak yang minum susu formula.
Di seluruh dunia, cirit-birit adalah punca utama kemasukan kanak-kanak ke hospital yang boleh membawa kepada kematian akibat kekurangan air. Ini sebabnya kini kebanyakan susu formula diperkaya dengan laktobasilus bagi memberi perlindungan lebih baik kepada kanak-kanak kecil.
Biasanya anak tidak mengalami masalah seperti buang air terlalu kerap ketika diberikan susu badan secara eksklusif. Masalah biasanya bermula apabila ibu mengurangkan pemberian susu badan (kurang antibodi ke badan anak), diperkenalkan dengan makanan baru atau selepas mereka belajar merangkak kerana bayi akan kerap memasukkan tangan yang kotor ke dalam mulut.
Bersalin normal, imunisasi dan bermain
MENURUT Mary, kanak-kanak yang dilahirkan secara normal mempunyai sistem imun lebih baik berbanding yang dilahirkan melalui pembedahan.
“Ketika melalui saluran kelahiran, bayi didedahkan dengan pelbagai jenis bakteria dan badan si kecil akan membentuk antibodi terhadap bakteria itu,” katanya.
Kajian ke atas najis bayi yang dilahirkan melalui pembedahan mendapati ia mengandungi kurang bakteria berbanding bayi dilahirkan secara normal.
Ia menjadi petanda bahawa bayi dilahirkan secara pembedahan mempunyai kurang antibodi.
“Keperluan memanjangkan tempoh penyusuan badan lebih tinggi di kalangan wanita yang melahirkan anak secara pembedahan.
“Susu badan adalah anugerah tuhan untuk anak-anak kita, jangan biarkan anak membesar tanpa mendapat anugerah yang sangat berharga ini,” katanya.
Ibu bapa boleh membantu meningkatkan kekuatan sistem imun anak dengan membawa mereka mendapatkan suntikan vaksin. Vaksin yang diberikan melalui program vaksinasi �kebangsaan akan melindungi anak anda daripada 10 jenis penyakit dan jika ada wang lebih, anda boleh memberi perlindungan tambahan di klinik atau hospital swasta.
Memberi vaksin kepada anak bermakna anda mendedahkan mereka kepada bakteria dan virus.
Jangan takut, kerana bakteria atau virus atau toksik daripada bakteria dalam vaksin ini sudah dilemahkan.
Apabila bahan ini masuk ke dalam badan, badan secara automatik akan bertindak balas dengan menghasilkan antibodi untuk melawan dan menghapuskan bahan asing itu. Demam selepas mendapat suntikan vaksin menandakan badan anak anda sedang membina antibodinya, jadi usah terlalu risau.
Selain itu, beri lebih kebebasan atau galakkan anak bermain di luar atau terbabit dalam pelbagai aktiviti sukan. Ia bertujuan memberi peluang anak anda terdedah kepada persekitaran semula jadi yang sememangnya banyak bakteria dan virus.
Badan kanak-kanak akan membina daya ketahanannya secara berperingkat-peringkat selagi mereka diberi makanan berkhasiat dan mendapat cukup rehat. Lebih aktif dan banyak pendedahan terhadap persekitaran, seseorang kanak-kanak lebih berdaya tahan terhadap jangkitan.
Pemakanan
IBU bapa boleh memperkenalkan makanan pepejal (lembut) kepada anak selepas umur enam bulan.
Pada ketika ini, usus mereka sudah cukup matang untuk menerima makanan pejal yang lembut.
Memang banyak makanan untuk bayi ada di pasaran dengan pelbagai perisa.
Namun Easaw berkata pada peringkat ini, lebih baik ibu bapa menyediakan sendiri makanan untuk bayi mereka. Makanan untuk bayi bukan saja mudah disediakan, malah ia dapat membantu ibu bapa mengenal pasti jenis makanan jika anak mengalami alahan.
“Biasanya ibu menyediakan bubur nasi yang dicampur dengan ikan bilis dan sayur kemudian dikisar hingga benar-benar lembut.
“Perkenalkan satu jenis makanan pada satu masa; ini penting jika ada sejarah alahan dalam keluarga. Dalam keadaan ini, jangan beri anak putih telur, kacang, makanan laut dan soya sehinggalah mereka berusia lebih 12 bulan.
“Anda boleh mempelbagaikan dengan memasukkan hirisan ayam dan sayur-sayuran seperti bayam, lobak atau kekacang ke dalam bubur nasi, tetapi jangan sekali-kali memasukkan gula dalam makanan bayi sehinggalah dia berusia setahun.
Kita tidak mahu terlalu cepat memperkenalkan gula kepada anak.
“Namun tidak mengapa jika bahan makanan itu mempunyai rasa manis secara semula jadi seperti keledek, tembikai susu, betik atau pisang. Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah sumber prebiotik iaitu makanan yang boleh merangsang pertumbuhan bakteria probiotik dalam usus.
“Anda boleh sediakan yang ringkas, tetapi berkhasiat dengan mengukus labu atau keledek dan lenyek hingga halus (diberikan kepada anak secara berasingan). Anda juga boleh berikan tomato kukus lenyek, tetapi perlu diasingkan bijinya terlebih dulu.
“Bagi wanita yang banyak menyimpan susu badan dalam peti sejuk, bolehlah masukkan susu ini ke dalam keledek atau labu lenyek untuk dijadikan seperti bubur. Ini akan menambah khasiat makanan bayi anda,” katanya.
Jika kali pertama bayi anda tidak mahu makan makanan yang disediakan, jangan bimbang atau mencari makanan lain. Ini adalah perkara biasa bagi bayi terutama jika ia pertama kali diberikan; teruskan memberi makanan itu dua atau tiga kali lagi. Lama kelamaan mereka akan dapat menerima makanan baru berkenaan.
Selain itu berikan air secukupnya kepada si kecil. Air di sini bermakna air kosong atau suam, bukan jus buah-buahan yang mengandungi banyak gula kecuali jika ia 100 peratus jus buah. Jika mahu memberikan anak jus, hadkan kepada segelas sehari.
“Mengapa? Gula dalam makanan atau minuman sebenarnya boleh melemahkan daya ketahanan badan anak, membuatkan mereka lebih mudah mendapat jangkitan. Gula disifatkan sebagai makanan yang mengandungi kalori kosong (ada kalori tetapi tiada zat) yang boleh menyumbang kepada penambahan berat badan dan masalah kegemukan.
“Sistem imun kita sama ada kanak-kanak atau orang dewasa umpama taman yang perlu dijaga, dibaja dan disiram. Caranya untuk menjaga ‘taman’ dalam badan kita ini ialah dengan sentiasa mengamalkan pemakanan seimbang, minum banyak air, bersenam dan berehat secukupnya,” katanya.
LANGKAH untuk meningkatkan daya ketahanan dari hari pertama kelahiran hingga satu tahun:
· Berikan bayi susu badan secara eksklusif selama sekurang-kurangnya enam bulan dan teruskan sehingga 12 bulan.· Perkenalkan makanan bercerai susu yang sesuai dan berkhasiat, seeloknya disediakan sendiri di rumah.
· Teruskan memberi susu (susu tumbesaran) kepada anak.
· Boleh berikan produk mengandungi probiotik seperti dadih selepas anak berumur tujuh bulan atau dua tahun bagi minuman berkultur.· Beri anak minum air secukupnya, bukan jus yang mengandungi banyak gula.
· Pastikan anak anda mendapat tidur dan rehat secukupnya. Kekurangan tidur boleh melemahkan daya ketahanan badan si kecil.
(Article yg amat bergune utk yg bergelar parents.. BTW, as a mummy, i'm so proud of myself cuz exclusively bfeed my baby without any formula milk 12 months..!!! n until now Dania still bfeed n mummy n diddy dun mind at all.. 3 years babe..! Alhamdulillah..)
No comments:
Post a Comment